Teaser

Wednesday, December 29, 2010

Manusia sukakan keindahan. Sebab itu bila Yoori di sekolah rendah, sering dipulaukan gara-gara penampilan yang nerd dan selekeh.

Tapi IU memberikan harapan kepada Yoori. Sekurang-kurangnya, dirinya masih diterima. Tambah pula, geng satu kepala, Hiro, Eli dan Kibum sama-sama menemaninya. Tipulah kalau Yoori tidak berasa bertuah memandangkan tiga lelaki itu bukan setakat kacak tahap hati, jantung, limpa habis cair jadinya. Klise apabila ada lelaki kacak di mana-mana sekolah sekalipun, tipu kalau tidak popular. Iyakan?

HIRO

"AKU tak faham, kenapa waktu sekolah rendah dulu, kau selalu rapat dengan orang yang... yang nerd, miskin, selekeh macam aku? Padahal, kau kan anak orang kaya. Seribu kali ganda lebih kaya daripada aku."

Usai bersuara, Yoori menghisap lagi aiskrim potong perisa jagung itu. Yoori berjalan sambil pandang kaki. Hiro melangkah sambil pandang muka Yoori.

Kata-kata Yoori sangat menyentuh hati Hiro. Sepanjang dia mengenali Yoori, dia sangat faham dengan kenaifan gadis ini. 

Mereka berdua mendekati sebuah pondok kecil di tepi tasik itu. Hiro melabuhkan punggung di atas bangku di situ sambil menghisap-hisap aiskrimnya. Sama seperti Yoori. Berperisa jagung.

"Aku anak orang kaya, kan? Jadi, suka hati akulah nak buat apa pun. Nak kawan dengan siapa, nak bercinta dengan siapa..."
Yoori terlepas batang aiskrim. Aiskrim itu jatuh ke tanah. Mencair.

Hiro terperanjat. Dia lekas bangkit lalu mencangkung memerhatikan aiskrim itu. Keadaannya semacam melihat seekor kucing comel mati bunuh diri.

"Aisy! Kau ingat murah ke aiskrim tu?!" katanya sambil toleh muka pada Yoori.

"Erk... Mahal ke? Tadi, kau hulur seringgit je kat makcik yang jual aiskrim ni?"

Seringgit untuk dua batang aiskrim. Seringgit bahagi dua batang aiskrim sama dengan lima puluh sen sebatang. Ini 'algebra' fahaman masyarakat tadika. Tapi, ini implimentasi ABC bagi orang dewasa seperti mereka.

"Jadi pada kau, lima puluh sen tu kira murahlah?" Hiro tetap tidak berpuas hati. Kalaulah dia sekejam Goo Jun Pyo si jutawan Forbes versi tipu, sudah lama disuruhnya Yoori menjilat semula aiskrim itu tanpa sedikit pun sisa - kecuali air liurnya.

"Err... Sorry?"

"Aisy..."

Yoori pandang dengan raut muka bersalah. Malas mahu melayankan perangai kebudak-budakan Hiro, Yoori buat-buat selamba. Dia mencebik bibir sambil bermain-main dengan hujung rambutnya.

"Kau tak nak pujuk aku?" Hiro tiba-tiba menjadi jauh lebih naif berbanding Yoori hari ini.

"Tak kuasa aku."

"Jadi kau nak aku pujuk kau? Gitu?"

"Tak layan!"

Hiro mendecit sambil garu belakang tengkuk. "Jomlah makan aiskrim aku ni. Kita kongsi, okey?"

"Isy... Tak lalu! Geli!" Sebab aiskrim itu sudah dihisap, dijilat dan digigit Hiro. Gila ke mahu berkongsi? Lagipun, aiskrim itu cuma berbaki tidak sampai separuh daripada batang aiskrim itu.
"Cepatlah!" kata Hiro, semacam mendesak sambil menyuakan aiskrim itu.

"Isy... Otak kau masuk air ke?"

ELI

ELI tunduk diam. Kemudian mengangkat mukanya semula. Adik kepada Yoori itu ditenung dalam-dalam.

"Yoona jangan beritahu sesiapa tentang perkara ni, okey?" Eli mohon ihsan. Kedua-dua belah tapak tangan Yoori digenggam erat, penuh mengharap.

Dahi Yoona terus-terusan berkerut. Dia simpati dengan Eli. Antara Hiro, Eli dan Kibum, dia paling rapat dengan Eli. Malah, Eli kerap memberikannya hadiah setiap kali singgah di kedai buah-buahannya.

Sepanjang dia mengenali Eli, dia melihat Eli sebagai seorang lelaki yang happy-go-lucky. Eli selalu tergelak dan bikin lawak yang cukup menenangkan hati. Siapa sangka, dalam diam lelaki itu sedang menanggung sebeban rasa kecewa.

Yoona pula dalam dilema. Apa harus dia lakukan sekarang? Dia tidak mahu membuatkan kakaknya, Yoori terperanjat dengan perkara ini sekiranya diberitahu. Tapi, dia tidak pula sanggup melihat Eli terus-terusan menanggung harapan dan kekecewaan seorang diri.

Yoona kemam bibir. Seketika kemudian, dia mengangguk. 

Eli melepaskan genggaman. Dia tersenyum kelat. Sekurang-kurangnya dia berpuas hati. Ada juga tempat untuk dia meluahkan rasa kecewa. Walaupun Yoona muda dua tahun berbanding dirinya, tetapi Yoona cukup memahami.

Yoona senyum tawar. Rasa simpatinya masih menebal. Dan makin tebal.

KIBUM

Nafas Kibum bagai tersekat. Denyutan nadinya seolah terhenti. Tersentak.

Dia memerhatikan gadis itu menjauh, meninggalkannya keseorangan di tengah jalan yang kosong selepas menolak cintanya mentah-mentah. Hatinya tersayat parah. Langsung bernanah.

Kibum terduduk melutut dengan kepala tertunduk sebaik kelibat gadis itu hilang ditelan pagar dinding rumah di hujung simpang. Hampa. Dia benar-benar kecewa.

Mungkin silapnya menaruh hati pada orang yang salah. Mungkin salahnya tidak menyedari yang dia selama ini hanya bertepuk sebelah tangan. Mungkin salahnya mengikut kata-kata Yoori supaya menjelaskan isi hatinya.

"Bodohnya aku..." Kibum mengutuk diri sendiri.

Hujan mulai turun. Kibum masih melutut, pada hujan yang menitik kasar di setiap bahagian di tubuhnya...

Wanna Be Your Love Copyright © 2009 Designed by Ipietoon Blogger Template for Bie Blogger Template Vector by DaPino