Bab 3

Friday, January 14, 2011

Eli selalu berjoging di sekitar kawasan rumahnya ini pada setiap hari Sabtu. Berlari-lari anak sambil mendengar muzik dari MP3 hadiah daripada sahabat karibnya, Hiro.

Sudah menjadi kebiasaan, dia akan singgah ke kedai buah-buahan milik Pak Cik Sooro, ayah Yoori. Kalau dia tidak ada hal, dia dengan rela hati akan membantu Pak Cik Sooro berniaga atau sekurang-kurangnya menemankan Pak Cik Sooro di situ bersama-sama Yoori dan Yoona.

Disebabkan itu, Eli sangat rapat dengan keluarga Pak Cik Sooro. Malah, Pak Cik Sooro selalu berkongsi cerita, meluahkan rasa dan memberi nasihat kepada Eli seolah-olah Eli itu sudah menjadi darah dagingnya.

Eli tidak kisah kerana dengan Pak Cik Sooro, dia sangat tenang dan gembira. Dia terasa seperti mendiang bapanya hidup kembali.

Pagi ini, ketika Eli hampir tiba di kedai Pak Cik Sooro, Eli lihat sebelah tangan Pak Cik Sooro memegang dadanya dengan mata terpejam seperti sedang menahan sakit yang tidak terperi. Sebelah lagi tangannya memegang sepucuk surat.

Dahi Eli lantas berkerut seribu lantas Eli berlari mendapatkan Pak Cik Sooro. Dia memegang bahu ayah Yoori erat supaya Pak Cik Sooro tidak rebah ke bumi.

"Pak cik tak apa-apa?" tanya Eli.

Pak Cik Sooro tidak menjawab. Sambil memegang dadanya, Pak Cik Sooro berusah mengawal nafas. Beberapa ketika kemudian, Pak Cik Sooro berasa tenang sedikit.

"Pak cik tak apa-apa, Eli. Terima kasih," ucap lelaki tua itu.

Dahi Eli masih berkerut-kerut. Dia susah hati dengan kesihatan Pak Cik Sooro yang agak teruk sejak kebelakangan ini.

"Janganlah pak cik paksa diri buat kerja-kerja berat ni semua. Pak cik kena fikirkan jugak kesihatan diri pak cik, tau?" pesan Eli.  Kerja-kerja berat yang dimaksudkan Eli ialah kerja-kerja seperti mengangkat kotak-kotak yang sarat dengan muatan buah-buahan, malah harus pula memunggah.

Pak Cik Sooro sekadar tergelak halus dengan keprihatinan yang ditunjukkan Eli. Hujung gelaknya, dia terbatuk-batuk sambil melangkah masuk ke dalam kedainya dengan sepucuk surat masih dipegang erat di tangan. Eli membuntuti setelah beberapa ketika memerhatikan Pak Cik Sooro berjalan di hadapannya dengan lemah.

Pak Cik Sooro menuangkan air suam dari botol minuman ke dalam gelas lutsinar. Separuh isi gelas itu kemudian diteguk perlahan. Eli memerhatikan sahaja orang tua itu meminum air dengan perasaan yang cukup resah.

"Berjoging lagi?" tanya Pak Cik Sooro.

Eli mengangguk lemah. "Ya, pak cik. Lagipun, tak ada apa nak buat kat rumah," kata Eli sambil melabuhkan punggung di atas kerusi kayu berdekatan dengan kaunter meja kayu. Pak Cik Sooro juga duduk di atas kerusi kaunter.

"Saya risau tengok keadaan pak cik. Memandangkan saya pun dah habis sekolah, saya ingat nak kerja kat sini. Boleh jugak tolong pak cik buat kerja-kerja berat tu semua," ujar Eli, menyatakan niatnya.

"Haisy... Kamu fikir kamu lagi kuat daripada pak cik ke? Lagipun, pak cik tak mampu nak menggaji kamu kat sini. Cukuplah dengan Yoori dan Yoona," balas Pak Cik Sooro.

Eli mendecit halus. "Saya tak harapkan duit pun, pak cik."

"Tapi kamu perlu tolong emak kamu." Pak Cik Sooro lekas membantah. "Pergi ke bandar, cari kerja yang lebih menguntungkan daripada bekerja kat sini," tokok Pak Cik Sooro.

Eli mengeluh sambil menundukkan muka. Dia terperasankan sepucuk surat yang sedari tadi tidak dilepaskan Pak Cik Sooro daripada tangannya.

"Surat apa ni, pak cik?" tanya Eli sambil cuba mencapai surat itu. Pak Cik Sooro lekas menghalang dengan menarik semula surat yang itu.

Wajah tua Pak Cik Sooro nampak kaget. Dari perlakuannya yang spontan dan tidak diduga itu, Eli lekas dapat mengagak yang Pak Cik Sooro mesti sedang menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya. Malah mungkin juga daripada pengetahuan anak-anaknya.

"Tak ada apa-apa, Eli. Cuma... Cuma..." Pak Cik Sooro cuba mencari alasan. "Cuma senarai buah-buahan yang baru sampai tadi." Ternyata, Pak Cik Sooro tidak pandai menipu.

"Pak cik rahsiakan sesuatu?" tanya Eli dengan perasaan membuak-buak ingin tahu.

Pak Cik Sooro cuba melarikan pandangan daripada bertemu mata dengan Eli sebab pemuda itu sangat mudah membaca hatinya melalui pandangan mata.

"Pak cik..."

Pak Cik Sooro serba salah. Perlahan-lahan, sepucuk surat itu diserahkan kepada Eli. Eli menyambut.

"Kedai ini mungkin akan ditutup, Eli. Salah pak cik sebab... biarkan hutang-hutang sewa rumah kedai ini terus tertunggak," kata Pak Cik Sooro sambil Eli membaca isi surat itu.

"Kenapa pak cik tak beritahu saya awal-awal!" Suara Eli meninggi sedikit. Pak Cik Sooro bungkam. Keakraban antara mereka membuatkan Eli benar-benar berasa yang dia sepatutnya tahu perkara itu dari awal. Seperti dia ialah ahli keluarga Pak Cik Sooro.

"Pak cik tak tahu nak buat apa, Eli. Pak cik dah hilang ikhtiar."

Eli pandang wajah Pak Cik Sooro dalam-dalam. Bibir Pak Cik Sooro bergetaran. Sedih mungkin.

Manakan tidak, kedai buah-buahan yang diusahakan sejak Yoori dilahirkan, malah kedai yang sama-sama diusahakan bersama mendiang isterinya kini akan ditutup. Tempat semua memori itu bersemadi kini akan dirobohkan.

"Tolong jangan beritahu perkara ni dekat Yoori atau Yoona. Pak cik tak mahu mereka susah hati," mohon Pak Cik Sooro, menghantar pandangan penuh mengharap kepada Eli.

Eli hiba sejenak.
*****

YOONA menekup mulut. Dari tepi pintu kayu kedai buah-buahan keluarganya itu, dia terpana. Dengan jelas, dia dapat mendengar butir perbualan antara ayahnya dengan Eli.

Kedai buah-buahan ayah akan ditutup?

Yoona terus terkaku di tempatnya berdiri. Habislah... Yoona perlu lakukan sesuatu. Dia mahu mendapatkan kakaknya, Yoori tetapi kakaknya itu telah ke villa bakal anak muridnya.

Apa perlu dia lakukan sekarang?
*****


INI bukan villa. Ini istana! Tapi ini istana moden yang mewah dan sangat urban. Yoori pernah lihat villa moden seperti ini. Sudah banyak kali. Tapi itu semua cuma dalam TV. Dan setahunya, villa moden sebegini adalah layak bagi orang-orang ternama seperti selebriti.

Dari pintu masuk villa atas bukit itu, Yoori terus dibawa meniti anak-anak tangga ke tingkat dua. Ciri-ciri urbanistik di dalam villa itu sangat ketara bukan setakat melalui tema warna putih yang mendominasi hampir segenap ruang, malah melalui perkakas-perkakas canggih yang memerlukannya bekerja seumur hidup untuk mendapatkannya!

Yoori kagum dengan kewujudan rumah semewah itu. Sepanjang perjalanannya, dia melalui balkoni di dalam villa yang mana dapat melihat dengan jelas ruang tamu di tingkat bawah serta bahagian dapur eksklusif dan beberapa panel villa di tingkat bawah.
 

Balkoni yang dilaluinya ini seolah-olah seperti penghubung ke mana-mana bahagian rumah. Barangkali ini memudahkan tetapi kalau terlalu banyak simpang dan lorong, sekali lagi Yoori perlukan tempoh seumur hidupnya untuk memahami selok-belok rumah ini.

Bahagian tepi di villa ini kebanyakannya tidak berdinding batu sebaliknya bercermin kaca tebal tinted. Justeru, ketika Yoori meniti anak-anak tangga sehinggalah sampai ke hadapan pintu bilik bakal anak muridnya ini, dia dapat melihat panorama-panorama indah di luar villa!

"Tuan Muda Jeung Dong Jun barangkali sedang menunggu cik. Selamat datang," kata pembantu itu. Dia berdiri di tepi pintu.

Yoori dengan penuh rasa malu dan teragak-agak, memulas tombol pintu bilik itu. Yoori mula menjenguk ke dalam bilik itu. Setelah kakinya melangkah masuk, dia memerhatikan sekeliling sebelum memasukkan sebelah lagi kakinya ke dalam bilik tidur mewah itu.

Akuarium yang sangat tinggi menyambutnya. Pelbagai spesis ikan akuatik yang kecil, unik dan menarik terdapat di dalam akuarium itu. Yoori menoleh ke kanan. Sofa putih dengan bantal bercorak segi tiga berwarna merah hati sangat mengujakannya.


Yoori melangkah ke dalam lagi. Dia meniti tiga anak tangga sebelum sampai ke bahagian kamar tidur. Terdapat katil bersaiz queen yang agak rendah dan permaidani baldu terhampar di hadapan katil itu. Di hadapan katil itu juga terdapat sebuah televisyen berskrin LCD berwarna hitam dengan audio bertaraf home theater.

Sudut tepi berdekatan dengan katil terdapat meja belajar siap komputer riba. Tiada cermin atau tingkap, sebaliknya hanyalah cermin kaca tebal bertinted. Ada tirai berwarna krim yang telah ditarik ke bahagian tepi membuatkan panorama di luar cermin kaca itu dapat dilihat dengan jelas. Sebuah kolam renang yang sangat luas.

Latar dinding di belakang televisyen itu ialah potret seorang budak lelaki yang sedang memakai jubah graduasi lengkap bertopi dengan jurai-jurai di salah satu hujungnya. Wajahnya sangat comel dan bersih tambah lagi senyumnya yang cukup manis. Di tangannya tergenggam erat sebatang skrol. Yoori mengamat-amati wajah budak lelaki itu. Wajahnya sangat mirip dengan seseorang yang sangat Yoori kenali.

Tiba-tiba, seorang budak lelaki keluar dari pintu tandas bilik itu dengan tuala terlilit di lehernya.

Yoori langsung berkalih memandang budak itu. Budak lelaki itu pun kelihatan terkejut.

"Kau siapa?"

Erk... Kau? KAU?! Dia panggil aku 'kau'?! Sukar Yoori mahu menelan kenyataan. Tapi, entah kenapa, Yoori hilang rasa berani dengan budak lelaki itu. Barangkali sebab budak itu panggil Yoori 'kau', Yoori terasa dirinya jauh lebih kecil daripada budak itu.

"Err... Hmm... Yoori. Park Yoori."

Budak yang serupa habis dengan budak di dalam potret gergasi tadi tidak terkejut lagi. Dalam pakaian kasualnya yang ringkas tetapi bergaya, budak itu berjalan lalu mendapatkan jam tangan berwarna silvernya di tepi rak televisyen itu.

"Jadi, akak ni ke yang abang saya kata bagus sangat?" Pertanyaan budak itu memantak pendengaran Yoori. Rasa mahu pecah gegendang telinganya ini. Kurang ajarnya!

"Err.. Bolehlah. Tapi, nama adik ni siapa ek?" tanya Yoori. Bukan dia tidak tahu, cuma dia mahukan kepastian. Menurut pembantu tadi, nama budak lelaki di hadapannya ini ialah Jeung Dong Jun.

Budak lelaki itu enggan melayan. Yoori herot bibir ketika budak lelaki bernama Dong Jun itu membelakangkan dirinya.

"Siapa abang adik?" tanya Yoori lagi.

Dong Jun diam lagi. 'Sah bisu sekejap-sekejap,' gerutu Yoori dalam hati.

Tuk! Tuk! Tuk!

"Masuk," kata Dong Jun. Pergh... Macam Tuan Besar!

Pembantu lelaki muda itu tadi menjengukkan kepala. "Cik Yoori, Tuan Muda mahu jumpa," katanya.

Yoori cepat-cepat keluar dari bilik itu apabila melihatkan Dong Jun langsung tidak mengendahkannya.
*****

SEKALI lagi Yoori melalui lorong-lorong di dalam villa itu. Yoori hanya mengekori pembantu itu tanpa banyak soal.

Apabila tiba, sekali lagi pembantu itu berdiri di tepi pintu. Menunggunya memulas tombol pintu.



Yoori memulasnya. Apabila sahaja dia menjengukkan kepalanya, pemandangan sebuah bilik dengan keluasan luar biasa menjamah matanya. Dengan warna putih dan hitam yang menjadi warna tema bilik itu, suasananya sangat eksklusif.

Akan tetapi, Yoori tertarik dengan seorang lelaki yang sedang membelakanginya yang sedang memandang ke luar cermin kaca bilik itu. Lelaki itu berpakaian seluar jeans skinny berwarna hitam dengan kemeja T berlengan tiga suku berwarna putih dengan leher turtle neck.

"Tumpang tanya, awak ni abang Tuan Muda Dong..."

Yoori terhenti daripada berkata-kata apabila lelaki itu berpaling sekali gus menghadapnya. Dan seraut wajah milik pemuda itu membuatkan Yoori terperanjat bagai langit mahu runtuh!

"Kk... Kau?!"

Yoori terperanjat bukan main. Hiro tergelak halus.

6 komen:

Hana Norisa said...

hahaha....terperanjat yoori...

hehehe...besarnya rumah..

=)

Nina Aziz said...

bkn yoori dh jmpe hiro ke mse bab 2??
confius....
tpi wahh mereka kayanya~~

Hasif Hamsyari said...

hana norisa> hehe... saje kasik gempak. =P

nina> iyeke? mungkin itu part 'previu for next chapter' kot. dan inilah chapternye.

yup. kaya gile. nanti sy bongkar ape keje yang bikin keluarga Hiro ni kaya gile nak mati. next chapter. hehe..

Unknown said...

haha
giler kaya la jae ni
hahahahaha
xD

Nemo^0^eriMo said...

aigooo.....

daku kompius yoona dgn yoori... sudahnya balik study bab sebelumnya berkali2.... dush2... hantuk kepla kat dinding...

ha... ini satu kelemahan akak bila baca cerita yang namanya dekat2... ku kompius.... jadi banyak menghabiskan masa untuk "ulangkaji" bab2 sebelumnya... huhuhuh.... dah tua... jd dah tak alert... benarkeh?

hihih.... mungkin hasif boleh buat sikit perubahan untuk memudahkan org2 mcm akak ni supaya senang untuk absorb masuk dlm cerita tnpa meng"kompius"kan diri... <-- ke daku je yg bengap sementara? hahahaha

apa2 pun.. tetap mau naik ibu jari pada hasif....

Lina Azhar said...

mmg rumah & dalamannya mcm reallah!
kurang ajarlah adik hiro tu,tapi,biasalah anak org kaya kan?

Post a Comment

Wanna Be Your Love Copyright © 2009 Designed by Ipietoon Blogger Template for Bie Blogger Template Vector by DaPino